Tuesday, October 8, 2013

BUKAN YANG TERAKHIR

selepas pandangan terakhir
mereka bertemu lagi

selepas pertemuan terakhir
mereka bercinta lagi

selepas cinta terakhir 
mereka bertemu lagi

selepas pengumuman terakhir
dia beraksi lagi

selepas kemenengan terakhir
dia kecundang lagi

selepas kekecewaan terakhir
dia bangkit lagi

selepas yang terakhir
dia bermula lagi.

NORAWI HJ KATA
8.10.2013

Sunday, October 6, 2013

WARNA WARNI PERPADUAN

kita berasal dari empat anasir yang sama
Adam dan Hawa adalah moyang kita
yang terlontar ke sini akibat bisikan 
dan hasutan Sang Iblis.

kita telah terlanjur dilahirkan di alam ini
meraih cinta menanam tekad harmoni
menikmati haruman kuntum damai bahagia.

mungkin kita berbeza warna
namun kita boleh berganding 
dalam membina suara dan matlamat yang jitu
seia sekata dalam perjuangan memertabatkan budaya sebangsa.

mungkin kita berjauhan namun suara kita boleh berpadu
iktikadkan jiwa menjulang perpaduan melalui pemartabatan
bahasa,sastera dan budaya bangsa.

alangkah indahnya kepelbagaian bangsa dan budaya
dihiasi warna warni perpaduan 
yang memagari serinya satu perjuangan.

NORAWI HJ.KATA
KOTA BELUD,SABAH,MALAYSIA.
6.10.2013

BUKAN TERAKHIR KALI

Dia masih terlalu ingin berjalan jauh
walau usianya telah jauh beredar
namun dia lupa itu semua
kerana nama harus diletakkan di singgahsana

dia terlalu ingin berjalan laju meninggalkan usianya
kerana dia khuatir usianya akan terpadam selepas ini
sedangkan masih ada waktu yang perlu dikejar
demi sebuah nama yang ingin dipuja
 beribu-ribu tahun lagi

kami melihatnya berjalan laju
pasti perjalanannya masih jauh
dan bukannya berakhir di sini
dia masih dahagakan kuasa dan sanjungan

dia tak akan mengakhirinya di sini
kerana kuasa yang membahagiakan dia selamanya
namun Tuhan pasti maha mengetahui
peruntukan masa yang perlu ia kejari

bukan berakhir di sini,katanya seorang diri
kerana dia belum puas memiliki warna-warni duniawi
sehingga Tuhan merampas nikmat deria rasa dari jasadnya
selepas itu segala-galanya tak bererti lagi
walaupun nyawa masih belum terpisah dari jasadnya.

bukan berakhir di sini
dia terlalu ingin mengakhiri riwayat sepinya
namun Tuhan masih mahu dia hidup
menghayati kemiskinan dan bersedia berjalan
ke pintu taubat.

NORAWI HJ.KATA
6.10.2013

Thursday, October 3, 2013

BUAT TERAKHIR KALI

BUAT TERAKHIR KALI

Entah berapa kali ayat itu diulang-ulang
di hadapan penonton yang bakal bersuara
kerana dia takut rebah dan hilang kuasa
di atas pentas pujaannya sendiri
hanya menyebut ayat itu berulang kali
mungkin dia dapat memancing simpati
lalu tangan dan kaki yang lumpuh akan bisa digerak-gerakkan
bagi memberi laluan untuk puluhan tahun lagi
dia hidup sebagai pelakon sandiwara yang berani kononnya

"ini yang terakhir kali
aku tak akan merayu lagi
kerana penggal akan datang aku tak mahu beraksi lagi
kata aktor bijaksana di atas pentas kegemilangan
 bicaranya diwarnai kelucuan tapi sedih
bagi mereka yang buta menilai

Buat terakhir kali aku beraksi di hadapan kalian
aku mahu kita bersatu dalam panggung ini
sementara di luar sana petir sabung menyabung 
memanahkan cahayanya ke bumi 
namun penonton masih belum berganjak di dalam panggung

di pihak yang lain,ayat itu telah membayangkan kepada mereka
sebagai doa seorang aktor yang ingin mati atau ingin meramaikan ahli panggung
kerana hampir setiap penggal ayat itu diulang-ulang
dijadikan judul bicara dan dipantunkan mengikut nafsu bicara

buat terakhir kalinya juga Tuhan telah menjadikan aktor itu
mati akal,mati rasa,mati jiwa,
namun gila segala-galanya di atas pentas pujaannya.

Drama telah berakhir,namun panggung masih terbuka
sementara penjaga panggung sedang berkhayal
akan cerita esok yang bakal disampaikan 
kepada anak isterinya.

NORAWI HJ.KATA
1.10.2013


Thursday, September 26, 2013

BAYANG-BAYANG HITAM

kalau ibu masih ada
aku tak akan begini
mata sentiasa berkelip
hingga ke subuh
di saat mata terpejam
 telinga terdengar
embun bertitisan di ranting kering

selepas ibu telah pergi jauh
aku seolah-olah tak bererti lagi
aku seperti batang kering
pada bila-bila masa menerima ketiadaan
atau setidak-tidaknya aku seperti bayang-bayang
yang tak dapat disentuh
akhirnya semua orang lari melihat bayang hitamku
aku tak bererti lagi

seperti bayang-bayang
aku tak bererti lagi
suaraku adalah suara ngeri dari gua jauh
aku terlalu ngeri buatmu 
dan kau langsung tak memandang lagi

kalau ibu masih ada
kau dan aku tak akan jadi begini
saling berjauhan dan enggan mengutip bicara luka
walhal aku ingin kau berada di puncak jaya
walau aku tak ada apa-apa
sekadar ingin melihat kulitmu licin tanpa ada kesan calar
kerana aku sentiasa mengalir dalam aliran darahmu

kalau ibu masih ada
aku tak akan jadi bayang-bayang
yang kau takuti
kalau ibu masih ada,
aku tak akan merasai kehilanganmu

setelah ketiadaan ibu
suaraku tak bererti lagi.

26.09.2013

TAMAN FIKIR

masihkah kau belum mampu merumuskan
di saat kau berdepan dengan seribu duga :
( bunga-bunga bahagia kau tak petik sebelum ini
 kerana kau ingin menunggu yang terbaik
 menjelma di depan matamu)

kau ingin yang terbaik tapi Tuhan bijak merencanakan
sejuta nikmat yang dipeturunkan tapi tak sewenangnya
kau kecapi dan ingin memiliki
kerana di sebalik kebahagiaan pun masih ada kekurangannya
yang bakal kau tempohi dan nikmati

selepas ini aku akan berdoa untukmu
meski doaku tak dapat mengubah pendirianmu
kerana kau dihanyutkan oleh lautan asmara
yang kian bergelora di batinmu hari demi hari

kau telah menyalakan sumbu cinta
aku hanya mampu memikirkanmu dalam seribu gelisah
kau juga harus berdoa walau kau kata 
kau belum bersedia memadamkannya

Berdoalah meski jalan yang masih kau pilih 
adalah neraka bagi yang lain
namun selepas berdoa,kau tak perlu menyerahkan 
segalanya kepda takdir
masukilah taman fikir
di situ ada ilham terindah yang bakal dianugerahkan 
kenangkanlah Tuhan tetap bersamamu di setiap sudut waktu 
Dia maha pengasih dan penyayang
buat hambanya yang bertaubat dan menjalin silaturahim
sesama hamba-Nya.

25.09.2013


Monday, September 23, 2013

AKU TAK MENJANJIKANMU KE SYURGA

aku tak mampu menjanjimu ke syuraga
sebaik aku perdengarkan kau butiran kata
atau hikmah sebuah pengorbanan

banyak jalan yang harus kau pilih
walau di depanmu duri di belakangmu jurang
di kanan atau kirimu masih ada jalan 
yang terbaik untuk kau pilih

Istiharahlah di sepertiga malam
sambil mengalirkan doa dari naiwaitu sucimu
pasti kau masih ada waktu memetik buah fikir
mengilhami jalan terbaik yang bakal kau tempohi

aku tak menjanjimu ke syurga
tapi aku mahu kau memilih jalan yang terbaik
kerana Tuhan membuka seribu nikmat untuk hamba-Nya

23.09.2013

Sunday, September 22, 2013

DI RUANG FIKIR

Maaf,masa terlau singkat untuk kita bersama
lihat sahaja matahari yang baru terbit
sedangkan kau belum siap merencanakan
masa haddapan kita bersama

di hadapan ada duri
kau terlalu berani membawa aku melangkah bersama dan merasai
perit pedihnya duri yang kau anggap sakit derita bersama
aku tak sengaja memijak kerana bukan aku takut kepedihan
kerana aku didewasakan dengan panas,dingin,suka duka dan bahagia
di ambang sementara

duri-duri di hadapan tak mampu kau hapuskan dengan doa
hanya kerana kau ingin mencuba dan bertawakkal
kerana Tuhan telah memberikan kau kewarasan fikiran
petiklah buah fikirmu kerana ianya lebih indah untuk kau rasai
kau dapat membayangkan lautan ilham yang tercetus
tapi alangkah sayangnya jika kau tak hargai kebesaran ilahi
seribu sesal dan pasrah tak akan mengembalikan semula
keajaiban Tuhan yang kau persiakan

maaf,masa terlalu singkat untuk kita bersama
sebentar lagi matahari akan terbenam di kaki senja
menangislah sementara aku masih menunggu kalimat terakhir darimu
masihkah belum ada jawaban darimu
sedangkan masa terus berlari dan malam akan datang menyapa kita

masihkah lagi kau menangis dengan seribu keraguan
sedangkan masa terlalu singkat untuk kita
ingat pesanku,jika malam telah menjemputku
kenanglah aku dalam zikir dan fikirmu

masihkah lagi kau menangis?

NORAWI HJ KATA
22.09.2013


WANITAKU

aku semakin kerdil ketika kau melangkah pergi
di tanganku ada bunga yang tak sempat kau terima
harumnya akan kusimpan di tapak tangan
menyingkir isyarat dendammu yang amat kufahami

aku tahu kau telah dikalahkan oleh suara-suara sumbang
tapi telah ku maafkanmu kerana kau wanita
yang dimerdekakan oleh kata-kata.

NORAWI HJ KATA
22.09.2013

Tuesday, September 17, 2013

MEREKA TETAP MERDEKA

Jika anda berani berjuang
lihatlah nasib kami yang malang,
saban hari melawan ombak sengsara
sebuah penghidupan yang pahit untuk ditelan
kami terpaksa menyerah diri pada takdir
demi hidup kami ingin bebas dari kekufuran

demikianlah rintih janda tua di sebuah bangsal tua
yang sentiasa dibayangi hantu kemiskinan
tiadalah yang dapat membantunya menghalau kemiskinan
kerana baginya mereka-mereka di sana tetap merdeka
kerana kaya lawannya miskin
dan tiap-tiap yang kaya perlu mewujudkan si miskin
kerana formula hidup tidak wajar semuanya beruntung

mereka tetap merdeka
ya,mereka memang pun merdeka dan hidup bahagia
kerana punya rumah besar dan kereta segalanya
mereka tetap merdeka kerana punya kuasa
dan memotong suara si miskin untuk bangun
ya,bangun dari kepompong kemiskinan dan dibelenggu penindasan

dia tetap merdeka,kata balu beranak dua itu lagi
kerana dia punya isteri dua lagi lawa
sedang kami bergelar balu
kerana orang tersayang dijadikan korban ombak kehidupan
ya,bagaimana debarnya mengharungi gelombang ganas
lebih hebat lagi ombak yang menghempas diri kami
hingga terdampar di pantai yang bernama kesengsaraan
tapi tak ada siapa pun yang tahu kerana mereka tetap merdeka.

mereka tetap merdeka
kerana sering masuk rumah-rumah urut
sekali sekala melepas geram di karaoke dangdut
sedangkan orang-orang tua di sini bergelut dengan wabak
yang bernama kudis,kurap panau dan kekalutan hidup

NORAWI HJ KATA
Pulau Mantanani,Kota Belud
16.09.2013

Monday, September 16, 2013

BANGKITLAH WAHAI ANAK MANTANANI

( i )
Berpijak di atas lantai bumi Mantanani
aku masih melihat anak-anakmu
mengharungi gelora diri
- di waktu pagi mereka mendayung perahu kehidupan
- setelah senja merasai debar kepayahan

ingatlah pesanku ini:
- biar miskin harta, jangan miskin ilmu
- biar miskin wajah,jangan miskin budi bahasa

mereka kaya tapi miskin hati,miskin akal
miskin jiwa dan papa pemikiran
jiwa mereka kering dan dahaga
mereka rakus kuasa lalu menjilat hak kemanusiaan.

( ii )
Bangkitlah anak Mantanani ku sayang
memanjatlah di pohon ilmu
hingga kalian dapat memetik buah sedar
fikirlah tentang hak dan masa depanmu
di sini kalian dilahirkan maka bumi ini 
sewajarnya kalian yang berhak menyayangi
binalah istana kebahagiaan sebagai lambang gemilangmu
tebuslah tangis pedih nenek moyang yang pernah
melihat korban derita anak-anak di sini
kerana kalianlah generasi pembela nasib anak bangsamu

bangkitlah anak Mantanani
bukalah minda ciptalah keyakinan
Mantanani ini umpama gadis sunti,kalianlah yang punya 
jangan sampai dirampas oleh jejaka luar yang liar
mata mereka asyik memandang dari jauh dan dekat
yang akhirnya memutihkan mata generasimu.

Bangkitlah anak Mantanani kerana bumi ini anda yang punya
 kalian pun berhak menggapai bintang di langit ilmu
petiklah bintang-bintang  yang berkerdipan 
untuk masa depan yang terus gemilang

PULAU MANTANANI,KOTA BELUD
16.09.2013




Sunday, September 15, 2013

MANTANANI TETAP MERDEKA

kali ketiga aku bertemu denganmu wahai Mantanani
bayumu tak pernah serik menyapa di saat hadirnya aku
sebagai perindu wajah lautmu
meski musim gelora telah tiba
aku terus mengilhami segala perit getir wargamu

kalian tetap merdeka
walau kalian tidur dalam selimut kemiskinan
bangun melihat gerhana nasib
berjalan di atas pasir kesengsaraan

Wahai Mantanani kali ketiga aku hadir
kau tetap sama
musim silih berganti adalah kehidupanmu
kau tetap merdeka di bibirku

merdeka dalam kesabaran
merdeka melawan arus kepayahan
merdeka dilambung ombak kehidupan
kalian merdeka dalam bicara-bicara indah
siapakah mereka yang akan memberi harapan
ya...harapan setinggi gunung,harapan seluas lautanmu

Mantanani di saat ini dan akan datang atau selamanya
akan menjadi pilihan sesiapapun melihat wajah indahmu
malah akan memilikimu kerana kau cantik
umpama gadis sunti, ramai lelaki yang ingin memiliki

kecuali aku,Mantanani
di bibirku dan dihatiku aku tetap cinta
namun aku sedar,aku lelaki berkurap dan berpanau
maafkan aku,Mantanani ku sayang...

PULAU MANTANANI,KOTA BELUD
16.09.2013

Saturday, September 14, 2013

WAJAHMU WAJAHKU

kau melihat wajahmu di mata hitamku
ada bayang-bayang luka kau pancarkan di mataku
kau membayangkan wajahmu
tanpa aku sedari kau juga melihat impian-impianku

apakah kau akan terus menyenangi
apabila wajahmu bersatu dengan wajahku
sedangkan sejarah di mata hitamku
gagal mengutuskan cerita luka pada deria rasamu
tentang diriku yang punya sejarah hitam
yang bakal membusukkan namamu

telah ku duga, wajahku hanya tinggal lakaran tanpa judul
sedangkan wajahmu masih tergantung di dinding ingatan
meskipun hanya bayang-bayang suram di mata hitamku

14.09.2013
JAM 12.08AM

Friday, September 13, 2013

JUMAAT YANG BERKAT

Jumaat yang berkat penghulu segala hari
dikirimkan malaikat semerbak wangian suci
insan yang kerdil pasti tidak lupa
merenung diri sedalam-dalamnya
ada sesuatu kealpaan yang tak tertulis
ada dosa-dosa lalu yang ingin dinsafi

merenung diri sedalam-dalamnya
hamba tak mampu mengutip
dan membuang sejauh-jauhnya
bau dosa-dosa yang terhampar
cuma taubat yang mampu mengembali
dan membuang riak-riak diri dalam kalbu hitam
sambil nawaitu memilih fikir dan zikir
suci kata-kata yang dilafazkan
dalam sebuah taman ibadah.

Jumaat yang datang dan pergi
mengembalikan ingatan hamba
masa yang sering berulang kali
sedangkan terlalu banyak nikmat
yang telah lupa disyukuri

Jumaat yang  sesingkat ini perlu diinsafi
peredaran usia yang semakin menjauh
dan semakin hampir ke Negeri Abadi.

Jumaat-13.09.2013






Thursday, September 12, 2013

PENJILAT

apakah lagi yang tinggal pada diriku

jika manusia semakin buas memiliki segalanya
yang kau pernah lihat kemanisan pada diriku 
tak bertahan lama kerana irimu dan seribu hasadmu

namaku pun semakin tiada
aku terpinggir dan sepi
menjalani sisa-sisa hidup yang pahit
yang ada padaku hanyalah bau busuk
yang kau gempar gempurkan

kau beri aku bangkai saudara
dan najis yang terbusuk dari negeri ini
aku hanya terima kerana aku mahu hidup
walaupun merangka dalam seribu payah

tiada lagi apa-apa yang ada pada diriku
hanyalah bau busuk yang harus kuterima
dalam bual harian yang asyik di kalangan manusia

dulu aku manis segalanya
semua orang memuji kemanisanku
akibat hasad yang keterlaluan
mereka jilat kemanisan yang ada padaku
termasuk juga kau...
ya,kau pun juga begitu,kau jilat aku

kau jilat diriku
kau jilat kemanusiaanku
kau jilat kemanusiaanmu

Nah!!! sekarang kau jilat kurapku.

12.09.2013

Wednesday, September 11, 2013

NAMAKU ANJING KURAP

Namaku anjing kurap
aku berasal dari desa yang sepi
berhampiran dengan daerah perbukitan
hidup mengembara di pekan kecil
mencari untung nasib
 tuanku telah menghalauku kerana aku gagal
menjaga rumahnya dari dimasuki pencuri

aku sedar hidupku melarat
demi hidup aku terpaksa
jika terpaksa aku menggigit
kerana aku tidak mahu sepi ditinggalkan kawan sebangsaku

Namaku anjing kurap
ramai orang mengenaliku
kerana mereka akan membawa cerita busuk
di sekitar kampung dan di seluruh negeri ini
namun aku tetap lali dengan kebusukanku
selagi hidup, aku masih berjuang dengan caraku

buluku tak selebat dahulu
badanku bernanah dan berulat
namun kawan-kawanku masih suka kepadaku
kerana aku membawa khabar tentang ruang hidup buat mereka
atau setidak-tidaknya aku setia membawa  ketulan tulang buat mereka

ya akulah anjing kurap itu
biar sejuta manusia tahu
aku tetap memperjuangkan kebusukan dan kemalaratanku
kerana aku telah menjadi binatang buangan
dari desa sepi.

11.09.2013


TENANGLAH WAHAI ANAKKU

( Buat Anakku Mardhiyyah Norawi Yang Sedang Menduduki UPSR )

tenanglah wahai anakku
menghadapi peperangan ilmu
kerana ini adalah ujian kecil untuk menduga
sedalam mana ilmumu di dada
kau harus tenang setenang sepertiga malam
kerana kau telah berusaha sebaiknya

ayah merestui kejayaanmu
kerana ayah tak dapat memberimu tanah pusaka
intan berlian,emas tembaga dan wang berjuta
renunglah hari mukamu
kerana ayah inginkan kau memiliki sinar ilmu
menjadi wanita solehah
kerana ayah akan bahagia dengan kebahagiaanmu

berdoalah wahai anakku
bertenanglah di samping zikir dan fikir
kau akan diberi saujana ilmu oleh-Nya
suatu masa nanti kau akan memetik
ranumnya buah jaya hidupmu

kau akan berjaya meghindari duri di jalanan hidupmu
kerana suluhmu ilmu dalam pekat malam
ingatlah syaitan kehidupan tetap mengusikmu dalam bahagia mempesona
tapi kau harus kuat dan harus lawan dengan sakti ilmumu
yakin pada diri dan ingat kepada Allah yang maha mengasihi

tenanglah wahai anakku
kau tak akan sunyi selamanya
kerana ilmu di dada sebagai teman hidupmu selamanya

11.9.2013

Tuesday, September 10, 2013

SAHABAT IV

aku sungguh menyanjung tinggi dirimu
keakraban seperti bintang dan bulan
kita bisa melukis wajah langit yang cerah
di atas kanvas impian

lalu kau calarkan sendiri lukisan demi lukisan itu
dengan warna acuanmu sendiri
kau terlalu ghairah melihat wajah pelangi
aku pun memutuskan untuk berdiam diri
dan membiarkan kau beraksi di atas pentas
pilihanmu sendiri.

10.09.2013

Monday, September 9, 2013

AKU TAK INGIN MELIHATMU DI NERAKA

ketika kau dikelilingi oleh dunia asyikmu
kau berasa kau benar
setiap kalimat dan setiap butiran kata-kata pedoman buatmu
langsung kau abaikan di dalam diam
ku tahu kau tak hargai dan tak akan mempercayai.

Hanya kerana aku tak ingin melihatmu
memasuki neraka duniawi
aku harus berada dalam dirimu selalu
walau aku bukan malaikat
yang dapat melihatmu selalu.

Mungkin tak kau ingini
aku cuba menyentuh dunia asyikmu
kerana bagiku kau sedang mabuk
oleh kata-kata manis yang bagimu itulah syurga idaman
walhal kau belum tahu racun di penghujungnya

Aku tak ingin melihatmu di neraka
walau aku tak mampu menjaminmu ke syurga
kerana bagiku kau harus sentiasa berdoa
memohon kekuatan dan petunjuk dari-Nya
kerana kita adalah lemah dalam setiap rencana
yang diingini dan diangankan.

9.9.2013
Jam 10.00 PM

BINTANG HATI

( Ingatan Ikhlas Buat Allahyarhamah Latiffah Omar )

Aku pernah berhasrat agar kita bisa bertemu
kerana kau bintang hati pujaanku
namun Tuhan telah menjemputmu pulang
lalu aku hanya menatap potret silammu
dalam sendu dan terharu.

Aku pernah angankan dalam sepiku
kau ku panggil ibuku
kerana aku masih dahagakan kasih ibu
namun takdir telah menentukan
kita hanya berjauhan dari panddangan
dan aku saling merindui babak hibamu

Kau semakin dilupakan
namun sedetik pun aku ingin terus mengingatimu
sambil menatap potret lamamu
wajahmu masih belum pudar
kau wanita Melayu ayu seperti dahulu

Dari jauh aku masih mampu berdoa
agar ibu tenang di sana
nanti aku merindui
tutur kata lembutmu dalam gurindam jiwa
sebagai wanita Melayu yang sopan dan tabah.

Kau bintang hati yang terus berkerdipan
yang terus menyedari rakyat jelata
dalam tangis dan tawamu yang mempesona
namun dalam kesal aku ingin terus membela
watak wanita malang agar tidaklah putus
kasih sayang sesama insan yang lemah.

Ibu,aku tahu kau telah lama sepi
Tuhan mengetahui sepi ibu
dan kehilanganmu kami tangisi dalam reda
dan iringan doa.

Ibu...kau ada di bibir dan di hatiku
dalam sepi,duka dan bahagia.

27.6.2013

PEREMPUAN

aku sandarkan diriku dengan wasspada di atas berahi perempuan
kerana kutahu emosi perempuan maha halus sifatnya
aku sedia mengalah dan sisipkan ego lelakiku ke tepi
kerana aku tahu,aku tak berdaya melawan senjata perempuan
ya...perempuan,memang mereka dicipta dari tulang rusuk lelaki
tetapi tak seharusnya bangga memperagakan diri atas nama lelaki

hitunglah berapa lelaki yang telah memangsakan kaummu
tapi kalian pun ada senjata pemusnah yang menjahanamkan

tapi wahai perempuan,aku mudah tergoda oleh kehalusan katamu
kelembutan dan keayuan wajahmu
walau tak pernah aku melafaz kata cinta terhadapmu
tapi sememangnya aku mudah kau bawa ke dunia
luar biasamu,wahai perempuan...

wahai perempuan...
pegang tanganku seeratnya
sebelum aku terjatuh ke gaung yang maha dalam.

Norawi Hj Kata
7.2.2013

SEBERKAS KUASA

Di saat anda dikirimkan dengan seberkas kuasa
apakah akan anda jahanamkan orang-orang kerdil
dan terus kibarkan panji keagonganmu

Berapa harga sebuah kuasa
di mata mereka yang terlalu dahaga
berapa harga degup kuasa ketika anak-anak
kerdil dipijak dan terhina?

Berapa lamakah degup kuasa akan bertahan
selagi kau tak pernah mengerti sebuah rasa
yang tak pernah terbela?

Siapakah yang paling berkuasa
ketika kau masih ghairah menggenggam kuasa?
atau ketika butir-butir kuasa berciciran dari genggamanmu
siapakah yang engkau cari?
atau siapakah lagi temanmu mengutip sisa-sisa kuasa
 yang telah hilang entah ke mana?

Atau gadis sepi itu menjadi temanmu
ketika kau masih tercari-cari kuasa itu
di lorong-lorong gelap kehidupanmu

NORAWI HJ KATA
12.6.2013


SEKUNTUM BUNGA PLASTIK

Tiba-tiba aku telah menerimanya sebagai tanda ingatan
namun aku masih bertanya siapa penciptanya
kerana aku ingin menatapnya di kamar malamku
sebagai menghargai pencipta serinya

namun aku ingin terus bertanya dalam diri
dan kepada bunga itu akan kewujudannya
dan aku tanpa ssengaja dipertemukan
walau tak bisa memiliki
kerana aku sekian lamanya masih bertanya
sehingga gagal melayari malam-malam indahku.

NORAWI HJ KATA

MELUKIS CERMIN

aku ingin kau melukis cermin diri
ciptalah cermin yang diinginkan
cuma aku ingin melihat wajah bidadari
dari syurga sebagai imej
di permukaannya

tentu sahaja cermin yang kau lukiskan itu
tidak mudah pecah
kerana ia hanya lukisan  semata
dan imejnya hanyalah imaginasi yang lahir
melalui getaran hati sucimu.

20.8.2013

MENOLAK BISIKAN HANTU


Pergilah kau ke tempat asalmu
kerana aku semakin lemah memandangmu
aku tak mampu lagi memandang wajahmu di dalam terang
kerana ketika kau datang untuk membawa khabar gembira
aku tak berdaya terhidu bau yang paling busuk
lalu aku pun menjadi semakin mual dan tak berdaya

Kembalilah kau ke kampung halamanmu
mengutip sisa-sisa kenangan lalu
ketika kau menjelma dan menghilang
bersama angin dan putaran waktu

Apa lagi yang kau harapkan dariku
kerana urat sarafku telah lemah
hanya menunggu saat jatuh dan tersungkur
kau memang bijak mencari ruang dan peluang
kau telah mencarik-carik kulit badanku

Aku telah menjadi semakin lemah
sejak kau rayu aku dengan bujukan maha halus
hingga aku asyik dibuai oleh tari katamu
aku terlena sehingga bertahun-tahun lamanya.

Apakah kau suka hisap darahku?
sedangkan darahku dan darahmu tak layak bersatu.

Cukuplah racun yang telah kau semburkan di mata batinku
sehingga aku tak mampu lagi melihat kebesaran Tuhan
dan melihat kebenaran yang telah lama kau cantaskan.

Usah berdendam kerana aku tidak bertahan lama di sini
aku akan kembali kepada asal kejaadianku
seperti juga Adam yang tercipta dari tanah ini
aku tak sanggup lagi menyalakan api
Jangan diusik kesepianku
kerana aku sentiasa senyum dalam keindahan
yang tak kau temui
Pergilah!!! jangan ganggu sepiku.

24.1.2013
Jam 2.20am

Sunday, August 25, 2013

PERSIDANGAN

Jika disebut tentang perebutan kuasa 
orang terlalu seronok mendengar
melihat bagaimana meraih sokongan terpendaam 
merasa debar bermula dan menghayati bangga
Akhirnya keputusan akan berlaku
hanya seorang penyandang yang harus berthakta 
semua telinga amat teliti mendengar
manakala mata amat peka memandang
bagaimana pemenang berasa seronok 
lalu menghargai penyokong 
yang dahaga keputusan persidangan
telah diumumkan si pemenang
mendapat tepuk dan sorak 
manakala yang gagal akan turut tersenyum 
walau di jiwanya menyimpan kecewa. 
lalu mereka pun pulang di halaman masing-masing 
melakar agenda dan impian berbeza. 

NORAWI HJ.KATA 
25.8.2013