Thursday, September 26, 2013

BAYANG-BAYANG HITAM

kalau ibu masih ada
aku tak akan begini
mata sentiasa berkelip
hingga ke subuh
di saat mata terpejam
 telinga terdengar
embun bertitisan di ranting kering

selepas ibu telah pergi jauh
aku seolah-olah tak bererti lagi
aku seperti batang kering
pada bila-bila masa menerima ketiadaan
atau setidak-tidaknya aku seperti bayang-bayang
yang tak dapat disentuh
akhirnya semua orang lari melihat bayang hitamku
aku tak bererti lagi

seperti bayang-bayang
aku tak bererti lagi
suaraku adalah suara ngeri dari gua jauh
aku terlalu ngeri buatmu 
dan kau langsung tak memandang lagi

kalau ibu masih ada
kau dan aku tak akan jadi begini
saling berjauhan dan enggan mengutip bicara luka
walhal aku ingin kau berada di puncak jaya
walau aku tak ada apa-apa
sekadar ingin melihat kulitmu licin tanpa ada kesan calar
kerana aku sentiasa mengalir dalam aliran darahmu

kalau ibu masih ada
aku tak akan jadi bayang-bayang
yang kau takuti
kalau ibu masih ada,
aku tak akan merasai kehilanganmu

setelah ketiadaan ibu
suaraku tak bererti lagi.

26.09.2013

TAMAN FIKIR

masihkah kau belum mampu merumuskan
di saat kau berdepan dengan seribu duga :
( bunga-bunga bahagia kau tak petik sebelum ini
 kerana kau ingin menunggu yang terbaik
 menjelma di depan matamu)

kau ingin yang terbaik tapi Tuhan bijak merencanakan
sejuta nikmat yang dipeturunkan tapi tak sewenangnya
kau kecapi dan ingin memiliki
kerana di sebalik kebahagiaan pun masih ada kekurangannya
yang bakal kau tempohi dan nikmati

selepas ini aku akan berdoa untukmu
meski doaku tak dapat mengubah pendirianmu
kerana kau dihanyutkan oleh lautan asmara
yang kian bergelora di batinmu hari demi hari

kau telah menyalakan sumbu cinta
aku hanya mampu memikirkanmu dalam seribu gelisah
kau juga harus berdoa walau kau kata 
kau belum bersedia memadamkannya

Berdoalah meski jalan yang masih kau pilih 
adalah neraka bagi yang lain
namun selepas berdoa,kau tak perlu menyerahkan 
segalanya kepda takdir
masukilah taman fikir
di situ ada ilham terindah yang bakal dianugerahkan 
kenangkanlah Tuhan tetap bersamamu di setiap sudut waktu 
Dia maha pengasih dan penyayang
buat hambanya yang bertaubat dan menjalin silaturahim
sesama hamba-Nya.

25.09.2013