Thursday, September 26, 2013

BAYANG-BAYANG HITAM

kalau ibu masih ada
aku tak akan begini
mata sentiasa berkelip
hingga ke subuh
di saat mata terpejam
 telinga terdengar
embun bertitisan di ranting kering

selepas ibu telah pergi jauh
aku seolah-olah tak bererti lagi
aku seperti batang kering
pada bila-bila masa menerima ketiadaan
atau setidak-tidaknya aku seperti bayang-bayang
yang tak dapat disentuh
akhirnya semua orang lari melihat bayang hitamku
aku tak bererti lagi

seperti bayang-bayang
aku tak bererti lagi
suaraku adalah suara ngeri dari gua jauh
aku terlalu ngeri buatmu 
dan kau langsung tak memandang lagi

kalau ibu masih ada
kau dan aku tak akan jadi begini
saling berjauhan dan enggan mengutip bicara luka
walhal aku ingin kau berada di puncak jaya
walau aku tak ada apa-apa
sekadar ingin melihat kulitmu licin tanpa ada kesan calar
kerana aku sentiasa mengalir dalam aliran darahmu

kalau ibu masih ada
aku tak akan jadi bayang-bayang
yang kau takuti
kalau ibu masih ada,
aku tak akan merasai kehilanganmu

setelah ketiadaan ibu
suaraku tak bererti lagi.

26.09.2013

0 comments: