Monday, July 18, 2011

LIDAH

lidahmu belum cukup lembut menarikan irama pesona
mari kuajar kau melembutkannya agar irama itu
bisa sejiwa dengan penggemar yang akrab
merasai masin dan manisnya lara
lidah perlu kau asa tarinya
kerana kau akan sentiasa berdepan
dengan penari yang lain

jangan anggap kau hanya sendiri
kerana sainganmu menarikan irama ini
makin bertambah hari demi hari
dan kau harus sentiasa melembutkan tari lidahmu

mereka tidak akan berminat melihat rupa bentuk lidahmu
mereka tidak akan melihat merah atau putihnya lidahmu
juga kudis yang melekat di lidahmu
kerana kekuatan yang ada pada lidahmu
apabila ianya bersatu dengan mulutmu

walau ada yang kagum,tersenyum,khayal,
tersungkur dan lebur dalam dunia batinnya
lidahmu akan dikenang selamanya

Norawi Hj Kata
18.7.2011,jam 8.17pm
Taman Nikmat,Kota Belud.

CATATAN TENTANG EMBUN

hanya ketika langit cerah kau menamani malam
kau unggul membasahi malam-malam sepi

ketika hujan singgah menyapa malam
kau pasrah pada ketentuan
kau akur akan kesementaraan

setelah bintang berkerdipan di angkasa
tatkala awan melebarkan sinar saktinya
kaulah tetamu perkasihan malam

kau pergi namun datang kembali
kau tak akan lupa perkasihanmu dengan malam
nanti aku tatap wajahmu di pagi yang berkat
sebelum pasrah, mentari akan menyingkirmu
sebelum aku lalai mengejar dunia yang lain.

JULAI 2011