Thursday, October 3, 2013

BUAT TERAKHIR KALI

BUAT TERAKHIR KALI

Entah berapa kali ayat itu diulang-ulang
di hadapan penonton yang bakal bersuara
kerana dia takut rebah dan hilang kuasa
di atas pentas pujaannya sendiri
hanya menyebut ayat itu berulang kali
mungkin dia dapat memancing simpati
lalu tangan dan kaki yang lumpuh akan bisa digerak-gerakkan
bagi memberi laluan untuk puluhan tahun lagi
dia hidup sebagai pelakon sandiwara yang berani kononnya

"ini yang terakhir kali
aku tak akan merayu lagi
kerana penggal akan datang aku tak mahu beraksi lagi
kata aktor bijaksana di atas pentas kegemilangan
 bicaranya diwarnai kelucuan tapi sedih
bagi mereka yang buta menilai

Buat terakhir kali aku beraksi di hadapan kalian
aku mahu kita bersatu dalam panggung ini
sementara di luar sana petir sabung menyabung 
memanahkan cahayanya ke bumi 
namun penonton masih belum berganjak di dalam panggung

di pihak yang lain,ayat itu telah membayangkan kepada mereka
sebagai doa seorang aktor yang ingin mati atau ingin meramaikan ahli panggung
kerana hampir setiap penggal ayat itu diulang-ulang
dijadikan judul bicara dan dipantunkan mengikut nafsu bicara

buat terakhir kalinya juga Tuhan telah menjadikan aktor itu
mati akal,mati rasa,mati jiwa,
namun gila segala-galanya di atas pentas pujaannya.

Drama telah berakhir,namun panggung masih terbuka
sementara penjaga panggung sedang berkhayal
akan cerita esok yang bakal disampaikan 
kepada anak isterinya.

NORAWI HJ.KATA
1.10.2013


0 comments: