Wednesday, September 11, 2013

NAMAKU ANJING KURAP

Namaku anjing kurap
aku berasal dari desa yang sepi
berhampiran dengan daerah perbukitan
hidup mengembara di pekan kecil
mencari untung nasib
 tuanku telah menghalauku kerana aku gagal
menjaga rumahnya dari dimasuki pencuri

aku sedar hidupku melarat
demi hidup aku terpaksa
jika terpaksa aku menggigit
kerana aku tidak mahu sepi ditinggalkan kawan sebangsaku

Namaku anjing kurap
ramai orang mengenaliku
kerana mereka akan membawa cerita busuk
di sekitar kampung dan di seluruh negeri ini
namun aku tetap lali dengan kebusukanku
selagi hidup, aku masih berjuang dengan caraku

buluku tak selebat dahulu
badanku bernanah dan berulat
namun kawan-kawanku masih suka kepadaku
kerana aku membawa khabar tentang ruang hidup buat mereka
atau setidak-tidaknya aku setia membawa  ketulan tulang buat mereka

ya akulah anjing kurap itu
biar sejuta manusia tahu
aku tetap memperjuangkan kebusukan dan kemalaratanku
kerana aku telah menjadi binatang buangan
dari desa sepi.

11.09.2013


TENANGLAH WAHAI ANAKKU

( Buat Anakku Mardhiyyah Norawi Yang Sedang Menduduki UPSR )

tenanglah wahai anakku
menghadapi peperangan ilmu
kerana ini adalah ujian kecil untuk menduga
sedalam mana ilmumu di dada
kau harus tenang setenang sepertiga malam
kerana kau telah berusaha sebaiknya

ayah merestui kejayaanmu
kerana ayah tak dapat memberimu tanah pusaka
intan berlian,emas tembaga dan wang berjuta
renunglah hari mukamu
kerana ayah inginkan kau memiliki sinar ilmu
menjadi wanita solehah
kerana ayah akan bahagia dengan kebahagiaanmu

berdoalah wahai anakku
bertenanglah di samping zikir dan fikir
kau akan diberi saujana ilmu oleh-Nya
suatu masa nanti kau akan memetik
ranumnya buah jaya hidupmu

kau akan berjaya meghindari duri di jalanan hidupmu
kerana suluhmu ilmu dalam pekat malam
ingatlah syaitan kehidupan tetap mengusikmu dalam bahagia mempesona
tapi kau harus kuat dan harus lawan dengan sakti ilmumu
yakin pada diri dan ingat kepada Allah yang maha mengasihi

tenanglah wahai anakku
kau tak akan sunyi selamanya
kerana ilmu di dada sebagai teman hidupmu selamanya

11.9.2013