Tuesday, September 15, 2009

KEKASIHKU

Bukalah hatiku
menziarahi kasih-Mu
ingin kulagukan pada-Mu
senandung rindu
lembaran hayat
di kalbu impian redha.

ingin kutaburkan benih kasih
di puncak syahdu
rimbunan takwa di taman firdausi
moga suburlah pohon iman
di banjaran hayat
sambil merindui nikmat
sungai madu mengalir
di mata batin insan-insan soleh.

kekasihku dengan rasa insaf
kumohon bersihkan hatiku
agar tetap bersama-Mu
semoga aku dapat mengecapi impian
bidadari jelita berdiri
di depan mataku
tatkala aku dikirimkan
di halaman ke-dua.

1996
*Mujaddid 1997

PISAU BATIN

Darah yang pekat
dalam rangka tubuhku
inilah zat kurniaan-Nya
mengalir dalam setiap urat
yang dapat kuisytiharkan nikmatnya
takku rela pisau zahir memercikkan
darahku ke kain putih

Hembusan suara yang bergema
di setiap telinga itulah ketajaman pisau
Entah di mana dimuntahkan darahku
yang nikmat dan padu
dalam taklukan kerajaan batin itu?
memang pisau hebat menyembunyikan matanya
lalu dipercikkannya darah saudara
ke jendela resah
lalu ditebarkannya rahsia darah
ke udara.

sememangnya pisau batin itu
amat pedih!

Kota Belud, Sabah.
Jun 1999
Dewan Sastera, November 1999

JERITAN BATINKU

BLOG INI SAYA WUJUDKAN KHUSUS UNTUK MEMAPARKAN SEGALA JERITAN BATINKU DALAM GENRE PUISI DAN CERPEN YANG BOLEH SAYA KONGSIKAN KEPADA SEMUA PENGGIAT SENI DAN SASTERA DI MANA SAHAJA ANDA BERADA. SEMOGA KEHADIRAN DAN KEWUJUDAN BLOG INI, IANYA MENJADI PENDORONG KEPADA MEREKA YANG BARU BERJINAK-JINAK DALAM SENI PENULISAN KREATIF.

JERITAN BATINKU MERUPAKAN GEMA SUARA DARI DALAM GUA DIRI. ADAKALANYA IA TERHASIL SETELAH DEGUP SUARA TERHENTI SEKETIKA SEDANG DENGUNG NALURI BERSABDA DALAM KABUT MAKNA. SEMOGA JERITAN BATINKU BISA MENGHANTAR MAKNA KE SETIAP PENJURU DERIA RASA DEMI KESEPAKATAN LIRIK HASRAT YANG TERSIRAT.