Sunday, October 6, 2013

WARNA WARNI PERPADUAN

kita berasal dari empat anasir yang sama
Adam dan Hawa adalah moyang kita
yang terlontar ke sini akibat bisikan 
dan hasutan Sang Iblis.

kita telah terlanjur dilahirkan di alam ini
meraih cinta menanam tekad harmoni
menikmati haruman kuntum damai bahagia.

mungkin kita berbeza warna
namun kita boleh berganding 
dalam membina suara dan matlamat yang jitu
seia sekata dalam perjuangan memertabatkan budaya sebangsa.

mungkin kita berjauhan namun suara kita boleh berpadu
iktikadkan jiwa menjulang perpaduan melalui pemartabatan
bahasa,sastera dan budaya bangsa.

alangkah indahnya kepelbagaian bangsa dan budaya
dihiasi warna warni perpaduan 
yang memagari serinya satu perjuangan.

NORAWI HJ.KATA
KOTA BELUD,SABAH,MALAYSIA.
6.10.2013

BUKAN TERAKHIR KALI

Dia masih terlalu ingin berjalan jauh
walau usianya telah jauh beredar
namun dia lupa itu semua
kerana nama harus diletakkan di singgahsana

dia terlalu ingin berjalan laju meninggalkan usianya
kerana dia khuatir usianya akan terpadam selepas ini
sedangkan masih ada waktu yang perlu dikejar
demi sebuah nama yang ingin dipuja
 beribu-ribu tahun lagi

kami melihatnya berjalan laju
pasti perjalanannya masih jauh
dan bukannya berakhir di sini
dia masih dahagakan kuasa dan sanjungan

dia tak akan mengakhirinya di sini
kerana kuasa yang membahagiakan dia selamanya
namun Tuhan pasti maha mengetahui
peruntukan masa yang perlu ia kejari

bukan berakhir di sini,katanya seorang diri
kerana dia belum puas memiliki warna-warni duniawi
sehingga Tuhan merampas nikmat deria rasa dari jasadnya
selepas itu segala-galanya tak bererti lagi
walaupun nyawa masih belum terpisah dari jasadnya.

bukan berakhir di sini
dia terlalu ingin mengakhiri riwayat sepinya
namun Tuhan masih mahu dia hidup
menghayati kemiskinan dan bersedia berjalan
ke pintu taubat.

NORAWI HJ.KATA
6.10.2013