Monday, September 9, 2013

AKU TAK INGIN MELIHATMU DI NERAKA

ketika kau dikelilingi oleh dunia asyikmu
kau berasa kau benar
setiap kalimat dan setiap butiran kata-kata pedoman buatmu
langsung kau abaikan di dalam diam
ku tahu kau tak hargai dan tak akan mempercayai.

Hanya kerana aku tak ingin melihatmu
memasuki neraka duniawi
aku harus berada dalam dirimu selalu
walau aku bukan malaikat
yang dapat melihatmu selalu.

Mungkin tak kau ingini
aku cuba menyentuh dunia asyikmu
kerana bagiku kau sedang mabuk
oleh kata-kata manis yang bagimu itulah syurga idaman
walhal kau belum tahu racun di penghujungnya

Aku tak ingin melihatmu di neraka
walau aku tak mampu menjaminmu ke syurga
kerana bagiku kau harus sentiasa berdoa
memohon kekuatan dan petunjuk dari-Nya
kerana kita adalah lemah dalam setiap rencana
yang diingini dan diangankan.

9.9.2013
Jam 10.00 PM

BINTANG HATI

( Ingatan Ikhlas Buat Allahyarhamah Latiffah Omar )

Aku pernah berhasrat agar kita bisa bertemu
kerana kau bintang hati pujaanku
namun Tuhan telah menjemputmu pulang
lalu aku hanya menatap potret silammu
dalam sendu dan terharu.

Aku pernah angankan dalam sepiku
kau ku panggil ibuku
kerana aku masih dahagakan kasih ibu
namun takdir telah menentukan
kita hanya berjauhan dari panddangan
dan aku saling merindui babak hibamu

Kau semakin dilupakan
namun sedetik pun aku ingin terus mengingatimu
sambil menatap potret lamamu
wajahmu masih belum pudar
kau wanita Melayu ayu seperti dahulu

Dari jauh aku masih mampu berdoa
agar ibu tenang di sana
nanti aku merindui
tutur kata lembutmu dalam gurindam jiwa
sebagai wanita Melayu yang sopan dan tabah.

Kau bintang hati yang terus berkerdipan
yang terus menyedari rakyat jelata
dalam tangis dan tawamu yang mempesona
namun dalam kesal aku ingin terus membela
watak wanita malang agar tidaklah putus
kasih sayang sesama insan yang lemah.

Ibu,aku tahu kau telah lama sepi
Tuhan mengetahui sepi ibu
dan kehilanganmu kami tangisi dalam reda
dan iringan doa.

Ibu...kau ada di bibir dan di hatiku
dalam sepi,duka dan bahagia.

27.6.2013

PEREMPUAN

aku sandarkan diriku dengan wasspada di atas berahi perempuan
kerana kutahu emosi perempuan maha halus sifatnya
aku sedia mengalah dan sisipkan ego lelakiku ke tepi
kerana aku tahu,aku tak berdaya melawan senjata perempuan
ya...perempuan,memang mereka dicipta dari tulang rusuk lelaki
tetapi tak seharusnya bangga memperagakan diri atas nama lelaki

hitunglah berapa lelaki yang telah memangsakan kaummu
tapi kalian pun ada senjata pemusnah yang menjahanamkan

tapi wahai perempuan,aku mudah tergoda oleh kehalusan katamu
kelembutan dan keayuan wajahmu
walau tak pernah aku melafaz kata cinta terhadapmu
tapi sememangnya aku mudah kau bawa ke dunia
luar biasamu,wahai perempuan...

wahai perempuan...
pegang tanganku seeratnya
sebelum aku terjatuh ke gaung yang maha dalam.

Norawi Hj Kata
7.2.2013

SEBERKAS KUASA

Di saat anda dikirimkan dengan seberkas kuasa
apakah akan anda jahanamkan orang-orang kerdil
dan terus kibarkan panji keagonganmu

Berapa harga sebuah kuasa
di mata mereka yang terlalu dahaga
berapa harga degup kuasa ketika anak-anak
kerdil dipijak dan terhina?

Berapa lamakah degup kuasa akan bertahan
selagi kau tak pernah mengerti sebuah rasa
yang tak pernah terbela?

Siapakah yang paling berkuasa
ketika kau masih ghairah menggenggam kuasa?
atau ketika butir-butir kuasa berciciran dari genggamanmu
siapakah yang engkau cari?
atau siapakah lagi temanmu mengutip sisa-sisa kuasa
 yang telah hilang entah ke mana?

Atau gadis sepi itu menjadi temanmu
ketika kau masih tercari-cari kuasa itu
di lorong-lorong gelap kehidupanmu

NORAWI HJ KATA
12.6.2013


SEKUNTUM BUNGA PLASTIK

Tiba-tiba aku telah menerimanya sebagai tanda ingatan
namun aku masih bertanya siapa penciptanya
kerana aku ingin menatapnya di kamar malamku
sebagai menghargai pencipta serinya

namun aku ingin terus bertanya dalam diri
dan kepada bunga itu akan kewujudannya
dan aku tanpa ssengaja dipertemukan
walau tak bisa memiliki
kerana aku sekian lamanya masih bertanya
sehingga gagal melayari malam-malam indahku.

NORAWI HJ KATA

MELUKIS CERMIN

aku ingin kau melukis cermin diri
ciptalah cermin yang diinginkan
cuma aku ingin melihat wajah bidadari
dari syurga sebagai imej
di permukaannya

tentu sahaja cermin yang kau lukiskan itu
tidak mudah pecah
kerana ia hanya lukisan  semata
dan imejnya hanyalah imaginasi yang lahir
melalui getaran hati sucimu.

20.8.2013

MENOLAK BISIKAN HANTU


Pergilah kau ke tempat asalmu
kerana aku semakin lemah memandangmu
aku tak mampu lagi memandang wajahmu di dalam terang
kerana ketika kau datang untuk membawa khabar gembira
aku tak berdaya terhidu bau yang paling busuk
lalu aku pun menjadi semakin mual dan tak berdaya

Kembalilah kau ke kampung halamanmu
mengutip sisa-sisa kenangan lalu
ketika kau menjelma dan menghilang
bersama angin dan putaran waktu

Apa lagi yang kau harapkan dariku
kerana urat sarafku telah lemah
hanya menunggu saat jatuh dan tersungkur
kau memang bijak mencari ruang dan peluang
kau telah mencarik-carik kulit badanku

Aku telah menjadi semakin lemah
sejak kau rayu aku dengan bujukan maha halus
hingga aku asyik dibuai oleh tari katamu
aku terlena sehingga bertahun-tahun lamanya.

Apakah kau suka hisap darahku?
sedangkan darahku dan darahmu tak layak bersatu.

Cukuplah racun yang telah kau semburkan di mata batinku
sehingga aku tak mampu lagi melihat kebesaran Tuhan
dan melihat kebenaran yang telah lama kau cantaskan.

Usah berdendam kerana aku tidak bertahan lama di sini
aku akan kembali kepada asal kejaadianku
seperti juga Adam yang tercipta dari tanah ini
aku tak sanggup lagi menyalakan api
Jangan diusik kesepianku
kerana aku sentiasa senyum dalam keindahan
yang tak kau temui
Pergilah!!! jangan ganggu sepiku.

24.1.2013
Jam 2.20am