Monday, September 9, 2013

MENOLAK BISIKAN HANTU


Pergilah kau ke tempat asalmu
kerana aku semakin lemah memandangmu
aku tak mampu lagi memandang wajahmu di dalam terang
kerana ketika kau datang untuk membawa khabar gembira
aku tak berdaya terhidu bau yang paling busuk
lalu aku pun menjadi semakin mual dan tak berdaya

Kembalilah kau ke kampung halamanmu
mengutip sisa-sisa kenangan lalu
ketika kau menjelma dan menghilang
bersama angin dan putaran waktu

Apa lagi yang kau harapkan dariku
kerana urat sarafku telah lemah
hanya menunggu saat jatuh dan tersungkur
kau memang bijak mencari ruang dan peluang
kau telah mencarik-carik kulit badanku

Aku telah menjadi semakin lemah
sejak kau rayu aku dengan bujukan maha halus
hingga aku asyik dibuai oleh tari katamu
aku terlena sehingga bertahun-tahun lamanya.

Apakah kau suka hisap darahku?
sedangkan darahku dan darahmu tak layak bersatu.

Cukuplah racun yang telah kau semburkan di mata batinku
sehingga aku tak mampu lagi melihat kebesaran Tuhan
dan melihat kebenaran yang telah lama kau cantaskan.

Usah berdendam kerana aku tidak bertahan lama di sini
aku akan kembali kepada asal kejaadianku
seperti juga Adam yang tercipta dari tanah ini
aku tak sanggup lagi menyalakan api
Jangan diusik kesepianku
kerana aku sentiasa senyum dalam keindahan
yang tak kau temui
Pergilah!!! jangan ganggu sepiku.

24.1.2013
Jam 2.20am

0 comments: