Tuesday, September 17, 2013

MEREKA TETAP MERDEKA

Jika anda berani berjuang
lihatlah nasib kami yang malang,
saban hari melawan ombak sengsara
sebuah penghidupan yang pahit untuk ditelan
kami terpaksa menyerah diri pada takdir
demi hidup kami ingin bebas dari kekufuran

demikianlah rintih janda tua di sebuah bangsal tua
yang sentiasa dibayangi hantu kemiskinan
tiadalah yang dapat membantunya menghalau kemiskinan
kerana baginya mereka-mereka di sana tetap merdeka
kerana kaya lawannya miskin
dan tiap-tiap yang kaya perlu mewujudkan si miskin
kerana formula hidup tidak wajar semuanya beruntung

mereka tetap merdeka
ya,mereka memang pun merdeka dan hidup bahagia
kerana punya rumah besar dan kereta segalanya
mereka tetap merdeka kerana punya kuasa
dan memotong suara si miskin untuk bangun
ya,bangun dari kepompong kemiskinan dan dibelenggu penindasan

dia tetap merdeka,kata balu beranak dua itu lagi
kerana dia punya isteri dua lagi lawa
sedang kami bergelar balu
kerana orang tersayang dijadikan korban ombak kehidupan
ya,bagaimana debarnya mengharungi gelombang ganas
lebih hebat lagi ombak yang menghempas diri kami
hingga terdampar di pantai yang bernama kesengsaraan
tapi tak ada siapa pun yang tahu kerana mereka tetap merdeka.

mereka tetap merdeka
kerana sering masuk rumah-rumah urut
sekali sekala melepas geram di karaoke dangdut
sedangkan orang-orang tua di sini bergelut dengan wabak
yang bernama kudis,kurap panau dan kekalutan hidup

NORAWI HJ KATA
Pulau Mantanani,Kota Belud
16.09.2013