Wednesday, July 20, 2011

AKU INGIN MENATAP TIDURMU

aku ingin menatap tidurmu
kerana kau kelihatan cantik ketika tidur
tentunya tidurmu selalu nikmat
aku tak jemu menatapnya

kau harus ingat
ada orang yang tak suka tidur
kerana tidur itu hanya sekadar mimpi basi
kadangkala tersedar hampa dari dunia lena
malah tidur itu bagi yang lain sungguh menakutkan
bertemu mimpi-mimpi ngeri
lalu mereka mengisytiharkan
tidur itu sebagai sampah hayat

aku ingin menatap tidurmu
kerana wajahmu selamba dan bersinar
umpama melayari bahtera nan jauh
kau nampak tersenyum mengharungi ombak
kau telah mengerti peralihan musim

aku ingin menatap tidurmu
kerana ku tahu kau cukup bahagia
bermimpi bertemu syurga
di dalamnya ada sungai madu
yang tak mahu kau tinggalkan nikmatnya.

aku ingin menatap tidurmu
kerana aku ingin mengilhami
betapa jika aku sedemikian
alangkah indahnya suatu perpindahan
ke negeri abadi

Norawi Hj Kata
Taman Nikmat, Kota Belud
19.7.2011, jam 9.50 malam