Thursday, September 17, 2009

16 SEPTEMBER HARI SEPIKU

Hari ini tak ada doa diaminkan
hari ini segala catatan tinggal ingatan
hari ini dalam sebutan tinggal lipatan
hari ini segala kenangan dianaktirikan

hari ini mataku sepi,
zahirku sepi,
batinku bergetar
zat-zat badanku telah kulepaskan ke angkasa dendam
kucatat semuanya,tapi maaf
hanya kepada burung kakatua kusampaikan

hari ini suara kukunci,lidahku menjilat menu tersirat
perlahan-lahan kusimpan dalam gua diri
agar berpadu dengan arkib deria rasa
biar jawapannya aku layak sebagai perindu
tanpa membogelkan protesku
kerana ianya bercanggah dengan akta batinku.

di hari 16 September batinku damai
sambil mengingati bait irama lagu tercinta
batinku damai zahirku sepi
walau hanya mengunyah suatu makna
yang tak sempat kuteriakkan sepenuhnya

di hari 16 September bibir kecilku tersenyum
mengingatkan kegemilangan bangsaku
batinku damai zahirku sepi
mengenang tokoh pejuangku yang pantang berundur
selangkah maju generasiku damai,gemilang,bermaruah.

zahirku damai batinku sepi
melihat bangsaku leka sejarah
hanya melihat pembangunan semata
hilang peradaban budaya tak kesah


zahirku damai batinku sepi
melihat 16 September terlalu sepi
zahirku damai batinku sepi
kerana 16 September hari sepiku

Norawi Hj.Kata
17 September 2009
Taman Nikmat,Kota Belud,Sabah
Jam 8.10 Pagi